“MEREKA LEMPAR FITNAH, KITA LEMPAR FAKTA.”

Saturday, July 24, 2010

PM ‘Tabur’ RM50k Untuk Dapat Liputan Akhbar Amerika

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar sebuah firma perunding politik yang berpangkalan di Washington RM50,000 (US$15,000) untuk membantunya memastikan rencana pendapat pengarang yang ditulisnya, diterbitkan di akhbar-akhbar utama di Amerika Syarikat.

Dan sekiranya hasil tulisannya itu disiarkan, maka perdana menteri akan mengeluarkan bayaran tambahan RM50,000 sebagai habuan untuk ‘yuran kejayaan’ kepada perunding berkenaan.

Perkara ini didedahkan menerusi dokumen yang difailkan di bawah Akta Pendaftaran Agen Asing oleh firma Quinn Gillespie & Associates (QGA), sebuah badan perunding perhubungan awam dan pelobi yang terkemuka di Washington DC.

Menurut dokumen yang diperolehi oleh Malaysiakini, QGA diberi tugas oleh sebuah lagi firma perunding, Kumpulan The Laurus, bagi cuba menyakinkan akhbar utama di Amerika bagi menyiarkan artikel Najib.

Kumpulan The Laurus, sebuah firma perhubungan awam yang diragui dengan laman webnya yang masih dalam pembinaan – juga diberikan tanggungjawab mengendalikan perkhidmatan perhubungan awam ketika lawatan seminggu Najib ke Washington DC dan New York dari 10 hingga 16 April tahun ini.

Najib, yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berjumpa dengan Presiden Amerika, Barack Obama pada 12 April lalu di Washington.

Pasangan itu kemudiannya berlepas ke New York bagi upacara penyampaian Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010 kepada Rosmah. Majlis gilang gemilang dan jamuan gala itu turut dihadiri oleh bintang-bintang Hollywood. Continue reading ‘PM ‘Tabur’ RM50k Untuk Dapat Liputan Akhbar Amerika’

Friday, January 29, 2010

Rakyat Perlu Waspada Dengan Manipulasi Isu Perkauman dan Agama

Anwar Ibrahim:

Saya konsisten menyatakan betapa pencemaran mesjid, gereja dan rumah ibadat yang berterusan amat membimbangkan. Rakyat harus waspada dengan muslihat individu atau gerombolan yang mewakili kalangan terdesak menghasut rakyat dengan memperalatkan isu kaum dan agama.

Tindakan polis dan Menteri Dalam Negeri membuat penangkapan ramai dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri amat dicurigai. Adalah dikhuatiri langkah tersebut adalah percubaan mengalih perhatian dari gerombolan terlibat. Kami membantah keras penggunaan ISA dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dalam menangani kemelut kini, kami ulangi saranan agar pertemuan antara kaum dan agama dianjurkan di setiap peringkat agar permasalahan ini tidak membarah di kalangan masyarakat.

Mengulas soalsiasat polis ke atas Azizah semalam, saya kesal kerana setelah dua tahun, Azizah masih disoal siasat polis bersabit kes fitnah terhadap saya.
Pendakwa heboh kononnya siap dengan kes yang kukuh sejak tahun lalu. Tetapi selepas 25 Januari pun mereka masih mengganggu keluarga saya.
Alhamdulillah Azizah dapat menempuh dugaan tersebut dengan yakin. Didoakan semoga khianat mereka akan terbongkar dan muslihat mereka gagal.

ANWAR IBRAHIM

Kalimah Allah: Al-Qaradhawi Persoal Inisiatif Malaysia?

Oleh Dzulfikar Mashoor

Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”

“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Qaradhawi, http://qaradawi.net.

Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.

“Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.

“Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.

Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.

Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.

Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia.