“MEREKA LEMPAR FITNAH, KITA LEMPAR FAKTA.”

Tuesday, January 12, 2010

Prestasi Ekonomi Malaysia

Ketika ini pendapatan per kapita rakyat Malaysia ialah AS$6,244 (RM21,500) setahun, satu prestasi membanggakan berbanding kebanyakan negara membangun. Tetapi, pada waktu yang sama, pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah AS$30,810 (RM106,000), lima kali ganda dari pendapatan rakyat Malaysia. Pada akhir tahun 1970-an pendapatan rakyat kedua-dua negara adalah lebih kurang sama. Mengapakah jurang tersebut begitu lebar? Ada yang akan menjawab hambar bahawa kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan Singapura kerana republik tersebut hanya sebuah pulau kecil yang penduduknya hanya 4 juta.

KNK Per Kapita (1970-2004)

Jadual 1: Jurang Yang Melebar - KNK Per Kapita (1970-2004)

Jika begitu mari kita bandingkan pendapatan rakyat Malaysia hari ini dengan pendapatan rakyat Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang adalah 48 juta dan Taiwan pula adalah 23 juta. Pada tahun 1970-an rakyat kedua-dua negara adalah lebih miskin dari rakyat Malaysia. Tetapi pada hari ini pendapatan rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000) dan Taiwan pula adalah AS$15,271 (RM52,700), iaitu dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi dari pendapatan rakyat Malaysia. Ini berbeza dengan kecenderungan pemimpin negara membandingkan kehebatan negara dengan negara paling daif di Afrika atau negara-negara yang terus dilanda keganasan atau peperangan.

Kita perhatikan sahaja wacana segar dalam pilihan raya di negara-negara demokratik lainnya. Pilihan raya Presiden Perancis bermula dengan satu persoalan yang diutarakan oleh calon: mengapakah United Kingdom 15% lebih kaya dari Perancis? Presiden Perancis itu sudah bimbang dengan rakyatnya 15% lebih miskin berbanding dengan pendapatan rakyat Britain meskipun Perancis adalah sebuah negara maju. Pilihan raya bebas Turki bulan Julai lalu membahaskan antara lain keupayaan ekonomi Turki melonjak tinggi untuk mampu bersaing dengan ekonomi Eropah. Di negara tetangga Indonesia perbahasan hangat berlaku mengenai kebijakan ekonomi sama ada selaras dengan konsep pengurusan kerajaan telus dan bersih dan berkepedulian terhadap permasalahan rakyat. Tetapi pimpinan kerajaan UMNO- BN seolah-olah mangli, tidak terkesan dengan angka dan data terang, kerana dibuai oleh jentera propaganda sendiri serta terpukau dengan pujian bala tentera upahan. Apakah mungkin diengkari kenyataan bahawa rakyat Singapura adalah 500% lebih kaya dari rakyat Malaysia, dan rakyat Korea Selatan dan Taiwan adalah 300% lebih kaya dari rakyat Malaysia? Apakah tidak mengaibkan kita dari negara yang mencatat keuntungan hasil minyak melimpah sebanyak RM 70 bilion setahun, tewas teruk dengan negara-negara yang ketandusan sumber asli? Malah lebih parah lagi manakala diselidiki kesan kepada rakyat terbanyak, dari segi kenaikan harga minyak, kos barang yang meningkat, mutu pendidikan dan kesihatan yang kurang memuaskan, masalah perumahan rakyat, jurang kaya miskin yang kian melebar, serta keperitan hidup masyarakat miskin bandar, desa di Semenanjung dan kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak.

Inilah kenyataan pahit yang perlu kita terima tatkala merayakan 50 tahun kemerdekaan. Jepun berada di kelas pertama; Singapura, Korea Selatan dan Taiwan di kelas kedua; dan Malaysia bersama yang lain di kelas ketiga. Sekiranya aliran ini tidak disekat dan diterbalikkan, jarak ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara Singapura, Korea Selatan dan Taiwan akan semakin lebar. Bahkan di rantau Asia sendiri China muncul sebagai naga ekonomi baru; dan India juga bergerak kencang terutama dalam bidang teknologi maklumat. Keyakinan pelabur berserta pengurusan ekonomi dan perencanaan bijak mampu mencipta kejayaan; umpamanya prasarana sederhana di Bangalore dan Chennai telah memperoleh pengisian melalui pelaburan besar menjangkau angka puluhan bilion ringgit. Mereka telah jauh meninggalkan Cyberjaya dengan prasarana megah dengan kos berbilion ringgit yang dibina oleh para kroni tetapi tidak bermaya malah malap dari segi pelaburan. Vietnam kini bergulir sebagai kekuatan ekonomi baru memperhebat daya saing mereka.

Persoalannya sekarang adalah apa yang perlu kita lakukan untuk merobah aliran sedemikian? Ini adalah satu tuntutan patriotik setiap rakyat prihatin. Kelembaban ekonomi, dengan dasar ekonomi yang terus tertumpu kepada beberapa projek mega di utara dan selatan dikhuatiri akan memenuhi tembolok kelompok kecil keluarga dan kroni penguasa tidak akan menjamin kesejahteraan rakyat. Jika negara terus dibiarkan lemah dan ekonomi laih dan lesu mutu hidup rakyat juga akan terjejas.

Suatu ketika dahulu Malaysia diiktiraf sebuah negara membangun yang dikagumi. Kita mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi pada awal 1990an. Malaysia disebut sebagai salah satu harimau ekonomi Asia Tenggara. Tetapi zaman tersebut sudah berlalu. Sebelum 1997 kadar pertumbuhan 8 hingga 9 peratus adalah suatu kelaziman, Bursa Malaysia dan pelaburan asing (FDI) kekal di tahap tertinggi di rantau ASEAN. Gambaran keajaiban tersebut kini sudah malap dan telah digantikan kisah-kisah kejayaan dan kekaguman dunia terhadap prestasi ekonomi China, India dan Vietnam.

-FAKTA-

3 comments:

  1. salamualaikum alam,

    Siapalah yang hendak terima fakta sebegitu, dia orang lebih selesa menerima berita keputusan oiam, af, ik dan mcm2 prog.tv yang disodokkan oleh agen-agen BN,tu tak kira prog hiburan lain.fakta yang tuan tulis tu mana kluar tv. saudara seagama kita sedang mabuk hiburan yang menidurkan.rakyat menderita sebenarnya tapi hiburan inilah dadahnya untuk melalaikan. Jika kita berusaha untuk mencegah tentu kita dituduh pembangkang. Bagi K/Tangan kerajaan yang nampak situasi ini mereka tak berani menentang kerana takut dilabel pembangkang. kalau kita teruskan senario ini berterusan, orang melayu akan terusterusan miskin dan akhirnya memerlukan sabsidi, kerana itulah BN sentiasa sebut hal subsidi supaya orang melayu sedar bahawa mereka bangsa yang bergantunghidup pada subsidi,
    jangan lawan taukey o.k!

    ReplyDelete
  2. benar kata awangmaser..apa yang penting kebenaran mesti di tegakkan walau apa cara sekali pun insyallah..

    ReplyDelete
  3. salam ziarah. malaysia mash ok. dAN AKAN BERTAMBAH OK. INSYAALLAH.
    PENGHUNI GUA

    ReplyDelete